Awal Muharram 1430 Hijrah

Sedar tidak sedar sekarang kita semua telahpun berada di dalam Tahun Baru Islam 1430 Hijrah. Syukur kehadrat Allah S.W.T kerana masih lagi memanjangkan umur kita semua untuk meneruskan kehidupan dan menjalankan amanah serta tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Namun begitu, cuba kita renungkan dan muhasabah bersama-sama, apakah yang telah kita lakukan pada tahun-tahun yang telah berlalu itu? Adakah kita telahpun menunaikan amanah dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya??

Muharram ertinya "yang diharamkan" atau "yang dipantangkan". Dinamakan Muharram kerana pada bulan ini dilarang berperang atau menumpahkan darah. Larangan ini berlangsung terus sampai pada masa permulaan Islam. Di antara peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini ialah:-

- 1 Muharram : Maal Hijrah / Awal Muharram
- 10 Muharram : Hari Asyura
- 10 Muharram : Kematian Saidina Hussain R.A (cucu Baginda S.A.W) di Karbala pada 61 Hijrah.

Kita semua pastinya sudah mengetahui tentang bagaimana peristiwa Rasulullah S.A.W berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Oleh itu di sini ana ingin tumpukan kepada ibadah serta peristiwa-peristiwa lain yang berlaku pada bulan Muharram ini.

Keistimewaan Hari Asyura

Dalam bulan yang mulia ini terdapat satu hari yang paling bersejarah dalam diari umat Islam iaitu Hari Asyura. Oleh itu Rasulullah S.A.W menganjurkan umatnya supaya berpuasa, bersedekah, dan melakukan pelbagai jenis kebajikan pada hari ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan (Tasu'a) dan kesepuluh (Asyura)". (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Hafsah R.A bahawa dia berkata : "Empat jenis ibadah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi S.A.W : Puasa Hari Asyura, puasa sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum fajar". (Hadis riwayat An Nasai).

Daripada Ibnu Abbas R.A berkata : " Aku tidak pernah melihat Nabi S.A.W mengutamakan puasa pada satu hari melebihi hari-hari lain melainkan hari ini iaitu Hari Asyura dan bulan ini yakni bulan Ramadhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Antara peristiwa-peristiwa lain yang berlaku pada Hari Asyura ialah :-

1) Kejadian langit dan bumi.
2) Kejadian laut dan bukit bukau.
3) Penciptaan Nabi Adam A.S dan juga Hawa.
4) Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam A.S.
5) Nabi Idris A.S dan Nabi Isa A.S diangkat ke langit.
6) Bahtera Nabi Nuh A.S tersadai di atas Bukit Al Judi.
7) Lahirnya Nabi Ibrahim A.S.
8) Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim A.S daripada api Namrud.
9) Allah S.W.T mengeluarkan Nabi Yunus A.S daripada perut ikan Nun.
10) Allah S.W.T mengembalikan penglihatan Nabi Yaakub A.S.
11) Allah S.W.T menyembuhkan penyakit Nabi Ayub A.S.
12) Allah S.W.T mengeluarkan Nabi Yusuf A.S daripada telaga yang dalam.
13) Nabi Yusuf A.S dibebaskan dari penjara.
14) Allah S.W.T menganugerahkan kerajaan kepada Nabi Sulaiman A.S.
15)Allah S.W.T membelah laut untuk Nabi Musa A.S dan menenggelamkan Firaun laknatullah serta bala tenteranya di Laut Merah.

Berkenaan dengan bulan Muharram ini juga, terciptanya TAQWIM HIJRI apabila Saidina Umar Al Khattab R.A yang merupakan Khalifah Islam kedua pada ketika itu telah menghantar surat perintah kepada Abu Musa Asya'ari di Basrah di mana dalam surat tersebut tertulis Syaaban. Abu Musa Asa'ari telah menghantar surat kepada Saidina Umar Al Khattab R.A untuk mengetahui masa yang sebenar tentang bulan Syaaban itu sama ada yang sedang mereka berada sekarang ataupun Syaaban yang telah lalu. Melihat perkara ini, maka Saidina Umar Al Khattab R.A terus memberi pandangan agar diadakan taqwim khas untuk panduan umat Islam. Pada tahun 17 Hijrah Saidina Umar Al Khattab R.A mencadangkan agar umat Islam mengadakan satu pembaharuan bagi memulakan tarikh perjalanan hidup berdasarkan taqwim khas. Beliau telah menghimpunkan umat Islam pada masa itu dan berbincang dengan mereka mengenai taqwim tersebut. Ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar dimulakan mengikut tahun kenabian Nabi S.A.W tetapi beliau menolaknya. Kemudian ada yang mencadangkan agar dimulakan dengan mengambil tahun Hijrah Nabi S.A.W sebagai titik permulaan kepada taqwim umat Islam yang mana cadangan itu terus diterima.

Di sini bukanlah mahu diberikan penekanan tentang siapa yang mencipta atau bilakah terciptanya taqwim ini, tetapi ingin menyatakan kepada umat Islam adakah selama ini kita mengambil berat tentang taqwim tersebut, dan setakat manakah penggunaannya dalam kehidupan kita di alaf ini. Sedar atau tidak, rata-rata umat Islam telah diperdaya oleh golongan yang ingin menyerang umat Islam dengan menggunakan kaedah pemikiran atau perang saraf dengan cara mereka memperluaskan penggunaan kalendar mereka hingga menyebabkan kita terlupa terhadap semua peristiwa sejarah yang berlaku dalam Taqwim Hijri yang suatu masa dahulu begitu gah digunapakai.

Di sini kita dapat rumuskan betapa peri pentingnya TAQWIM HIJRI dalam memperingati peristiwa-peristiwa sejarah agar kita tidak melupai bagaimana perjuangan Nabi S.A.W serta para sahabat dalam menegakkan dan menyebarkan dakwah Islam hingga ia berdiri kukuh di seluruh pelusuk bumi. SEDARLAH!!!

Selamat Tahun Baru Islam 1430 Hijrah buat semua. Jadikanlah tahun 1430 Hijrah ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya yang telah berlalu. Sama-samalah kita berhijrah daripada perkara yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik lagi.



-AL FAQIR ILALLAH-








Posted on 6:52:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »

Keajaiban Nombor di dalam Al Quran

Ajaib tetapi benar! Lihatlah sebahagian daripada hasil kajian seorang cendekiawan Islam terhadap kandungan Al-Quran. Didapati banyak perkara telah disentuh dan telah dibuat kajian oleh manusia seperti nombor, astronomi, angkasalepas, perubatan, geologi, kejuruteraan, minda dan sebagainya.

Bilangan tentang perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran:

DUNIA - 115 kali
AKHIRAT - 115 kali

MALAIKAT - 88 kali
SYAITAN - 88 kali

HIDUP - 145 kali
MATI - 145 kali

FAEDAH - 50 kali
KERUGIAN - 50 kali

UMMAH - 50 kali
PENYAMPAI - 50 kali

IBLIS : PENGHULU SYAITAN - 11 kali
MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA IBLIS - 11 kali

BALA/MUSIBAH - 75 kali
BERSYUKUR - 75 kali

BERSEDEKAH - 73 kali
BERPUAS HATI - 73 kali

ORANG YANG SESAT - 17 kali
ORANG YANG MENINGGAL DUNIA - 17 kali

MUSLIMIN - 41 kali
JIHAD - 41 kali

EMAS - 8 kali
KEMURAHAN HIDUP - 8 kali

KEAJAIBAN - 60 kali
FITNAH - 60 kali

ZAKAT - 32 kali
BERKAT - 32 kali

MINDA - 49 kali
NUR - 49 kali

LIDAH - 25 kali
SUMPAH - 25 kali

NAFSU - 8 kali
KETAKUTAN - 8 kali

BERCAKAP DI KHALAYAK RAMAI - 18 kali
BERDAKWAH - 18 kali

KESUSAHAN - 114 kali
KESABARAN - 114 kali

MUHAMMAD - 4 kali
SYARIAT - 4 kali

LELAKI - 24 kali
PEREMPUAN - 24 kali

SOLAT (SEMBAHYANG) - 5 kali

BULAN - 12 kali
HARI - 365 kali

LAUTAN - 32 kali
DARATAN - 13 kali

LAUT dan DARAT = 32 + 13 = 45

Justeru itu, peratusan laut = 32/45 x 100 = 71.11111111 peratus
Peratusan daratan = 13/45 x 100 = 28.88888889 peratus
JUMLAH = 100 peratus

Kajian sains oleh manusia telah membuktikan bahawa air meliputi 71.111 peratus daripada bumi dan tanah meliputi 28.889 peratus.

Begitulah kebesaran dan keagungan ciptaan Allah SWT!!


Nota: Diterjemahkan daripada karya asal yang dipetik daripada "The Series Of The Scientific Miracles In Quraan," oleh Dr. Tariq Al Suwaidan.

Wallahua'lam..

Posted on 1:15:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

Sebuku Roti Penebus Dosa

Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya, “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti.”

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga dia pun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri. Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu. Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata, “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku? ” Orang yang membagikan roti itu menjawab, “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti.”

Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata, “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti itu!”
Posted on 11:18:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

Siapakah yang pernah mengetuk pintuKu lalu Aku tidak bukakan?

Sebuah Riwayat yang diceritakan oleh Husain, tentang firman Allah SWT yang berbunyi:

“Demi kemuliaan dan kebesaranKu dan juga demi kemurahan dan ketinggian kedudukanKu di atas Arsy. Aku akan mematahkan harapan orang yang berharap kepada selain Aku dengan kekecewaan. Akan Aku pakaikan kepadanya pakaian kehinaan di mata manusia. Aku singkirkan ia dari dekatKu, lalu Aku putuskan hubunganKu dengannya. Mengapa ia berharap kepada selain Aku ketika dirinya sedang berada dalam kesulitan? Padahal, sesungguhnya kesulitan itu berada di tanganKu dan hanya Aku yang dapat menyingkirkannya. Mengapa ia berharap kepada selain Aku dengan mengetuk pintu-pintu lain, padahal pintu-pintu itu tertutup. Padahal, hanya pintuKu yang terbuka bagi siapapun yang berdoa memohon pertolongan dariKu.

Siapakah yang pernah mengharapkan Aku untuk menghalau kesulitannya lalu Aku kecewakan? Siapakah yang pernah mengharapkan Aku kerana dosa-dosanya yang besar, lalu Aku putuskan harapannya? Siapakah pula yang pernah mengetuk pintuKu lalu aku tidak bukakan? Aku telah mengadakan hubungan yang langsung antara Aku dengan angan-angan dan harapan seluruh makhlukKu. Akan tetapi, mengapakah mereka malah bersandar kepada selain Aku? Aku telah menyediakan semua harapan hamba-hambaKu, tetapi mengapa mereka tidak puas dengan perlindunganKu? Aku pun telah memenuhi langitKu dengan para malaikat yang tiada pernah jemu bertasbih kepadaKu, lalu Aku perintahkan mereka supaya tidak menutup pintu antara Aku dan hamba-hambaKu.

Akan tetapi, mengapa mereka tidak percaya kepad firman-firmanKu? Tidakkah mereka mengetahui bahawa siapapun yang tertimpa oleh bencana yang Aku turunkan, tiada yang dapat menyingkirkannya kecuali Aku. Akan tetapi, mengapa Aku melihat ia dengan segala angan-angan dan harapannya itu selalu berpaling dariKu? Mengapakah ia sampai tertipu oleh selain Aku? Aku memberikan kepadanya dengan segala kemurahanKu, apa-apa yang tidak sampai harus ia minta. Ketika semua itu aku cabut kembali darinya, lalu mengapa ia tidak lagi memintanya kepadaKu untuk segera mengembalikannya, tetapi malah meminta pertolongan kepada selain Aku?

Apakah Aku yang memberi sebelum diminta, lalu ketika diminta tidak Aku berikan? Apakah Aku ini bakhil, sehingga dianggap bakhil oleh hambaKu? Tidakkah dunia dan akhirat itu semuanya milikKu? Tidakkah dermawan dan kemurahan itu adalah sifatKu? Tidakkah hanya Aku tempat bermuaranya semua harapan? Dengan demikian, siapakah yang dapat memutuskannya daripadaKu? Apapula yang diharapkan oleh orang-orang yang berharap, andaikan Aku berkata kepada semua penduduk bumi, “MINTALAH KEPADAKU”. Aku pun lalu memberikan kepada masing-masing orang, fikiran apa yang terfikir pada semuanya. Dan semua yg kuberikan itu tidak akan mengurangi kekayaanKu meskipun sebesar debu.

Bagaimana mungkin kekayaan yang begitu sempurna akan berkurang, sedangkan Aku mengawasinya. Sungguh, alangkah celakanya orang yang terputus dari rahmatKu. Alangkah kecewanya orang yang berlaku maksiat kepadaKu dan tidak memperhatikan Aku, dan tetap melakukan perbuatan yg haram seraya tidak malu kepadaKu..”


Posted on 11:02:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »

Syawal Menjelma

Ramadhan telah pun meninggalkan kita dan kini Syawal telah pun menjelma. Perginya Ramadhan diiringi dengan tangisan, manakala datangnya Syawal disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Adakah mungkin kan bertemu kembali dengan Mu Ramadhan di tahun yang mendatang?

Tahun ini merupakan tahun ketigaKu beraya di Perlembahan Nil ini. Menyambut hari raya di perantauan ini memang berbeza dan terasa serba kekurangannya, kerana berjauhan dengan keluarga serta sanak saudara. Kerinduan dan ingatan kepada mereka semua sangat mendalam. Terbayang kemeriahnya dengan gelagat dan keceriaan mereka semua beserta juadah-juadah yang disediakan seperti ketupat, lemang, rendang, dodol dan sebagainya. Namun apakan daya, itulah adat orang merantau. Demi menimba ilmu serta memenuhi impian dan cita-cita terpaksa ditempuhi jua. Mujur ada teman-teman seperjuangan di sini.

Seperti kebiasaan di tahun-tahun sebelumnya, aku beserta teman-teman seperjuangan yang lain di bumi Tanta ini akan pergi bersolat hari raya di Istad Tanta (Stadium Tanta). Suasana solat di situ memang cukup meriah kerana ramai penduduk-penduduk Arab tidak kira lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak akan beramai-ramai memenuhi Istad Tanta bagi menunaikan solat raya di situ. Memang cukup ramai yang datang. Silap gaya kalau terlewat datang akan bersolat di luar Istad, di atas jalan raya. Suasana seperti ini memang tidak ada di tanah air. Cukup meriah.





Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat. Mohon maaf zahir dan batin. Sambutlah ia dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran serta sambutlah dengan penuh kesederhanaan. Moga rahmat serta keredhaan Allah sentiasa bersama kita semua. Amin.


- AL FAQIR ILALLAH -
Posted on 10:25:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh Tuhanku
Ku tempuh jua...
Posted on 4:32:00 pm by egtanta and filed under | 3 Comments »