Syawal Menjelma

Ramadhan telah pun meninggalkan kita dan kini Syawal telah pun menjelma. Perginya Ramadhan diiringi dengan tangisan, manakala datangnya Syawal disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Adakah mungkin kan bertemu kembali dengan Mu Ramadhan di tahun yang mendatang?

Tahun ini merupakan tahun ketigaKu beraya di Perlembahan Nil ini. Menyambut hari raya di perantauan ini memang berbeza dan terasa serba kekurangannya, kerana berjauhan dengan keluarga serta sanak saudara. Kerinduan dan ingatan kepada mereka semua sangat mendalam. Terbayang kemeriahnya dengan gelagat dan keceriaan mereka semua beserta juadah-juadah yang disediakan seperti ketupat, lemang, rendang, dodol dan sebagainya. Namun apakan daya, itulah adat orang merantau. Demi menimba ilmu serta memenuhi impian dan cita-cita terpaksa ditempuhi jua. Mujur ada teman-teman seperjuangan di sini.

Seperti kebiasaan di tahun-tahun sebelumnya, aku beserta teman-teman seperjuangan yang lain di bumi Tanta ini akan pergi bersolat hari raya di Istad Tanta (Stadium Tanta). Suasana solat di situ memang cukup meriah kerana ramai penduduk-penduduk Arab tidak kira lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak akan beramai-ramai memenuhi Istad Tanta bagi menunaikan solat raya di situ. Memang cukup ramai yang datang. Silap gaya kalau terlewat datang akan bersolat di luar Istad, di atas jalan raya. Suasana seperti ini memang tidak ada di tanah air. Cukup meriah.





Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat. Mohon maaf zahir dan batin. Sambutlah ia dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran serta sambutlah dengan penuh kesederhanaan. Moga rahmat serta keredhaan Allah sentiasa bersama kita semua. Amin.


- AL FAQIR ILALLAH -
Posted on 10:25:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

0 comments: