Antara Kejayaan Dan Kegagalan

Alhamdulillah..Natijah imtihan Universiti Al Azhar tahun ini sudah pun keluar. Pastinya kebanyakan natijah-natijah di seluruh muhafazah sudah pun keluar. Dan kedengarannya tahun ini bakal terciptanya sejarah, kerana begitu ramai pelajar-pelajar yang tidak najah khususnya di Tanta kerana pihak Universiti Al Azhar dikatakan sedikit syadid pada tahun ini. Bagaimana dengan natijah ku??Najahkah ataupun sebaliknya?? Alhamdulillah kesyukuran yang tidak terhingga ku panjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana aku najah dalam imtihan kali ini. Walaupun keputusanku mangkulain (bawa 2 madah), namun ku tetap bersyukur kerana tetap najah dan dapat naik tahun. Tiada lafaz dan kata-kata yang dapat ku ungkapkan kecuali dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji dan bersyukur padaMU Ya Allah.. Kini sedar tidak sedar aku sudah pun berada di tahun 4 iaitu tahun akhir pengajian. Terima kasih padaMU Ya Allah..

Bagaimana pula dengan natijah sahabat-sahabat seperjuangan ku yang lain?? Pastinya ada yang gembira dengan keputusan natijah mereka dan ada pula yang sedih dan kecewa dengan keputusan natijah mereka itu. Buat sahabat-sahabat yang najah, mabruk diucapkan di atas kejayaan itu. Bergembiralah dengan banyak memuji Allah SWT. Manakala, buat sahabat-sahabat yang tidak najah, takziah diucapkan. Bersabarlah di atas ketentuan dan ujian yang diberi oleh Allah itu. Mungkin tiada rezeki. Terimalah dengan tabah dan redha. Pastinya ada hikmah di sebaliknya.

Kepada sahabat-sahabat yang berjaya, janganlah alpa dan lalai dengan kejayaan itu. Ingatlah, semua itu datangnya dari Allah SWT. Maka, perbanyakkanlah memuji dan bersyukur padaNYA. Moga kita termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur. Manakala, buat sahabat-sahabat yang tidak berjaya, usahlah bersedih. Tabahkanlah hati dan terimalah dengan sabar dan redha. Perbanyakkan lagi usaha di masa hadapan. Jangan putus asa. Pastinya Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran dan kekuatan iman kita padaNYA.

Tidak semestinya mereka yang berjaya itu telah berjaya dan akan berjaya selamanya. Dan tidak semestinya mereka yang gagal itu telah gagal dan akan gagal selamanya. Kerana, disebalik apa yang Allah SWT tentukan itu, pastinya ada hikmah yang terbaik buat diri kita. Boleh jadi, jika kejayaan yang diperolehi oleh seseorang itu akan membuatkannya lalai, leka, lupa dan kufur pada nikmat Allah. Maka Allah SWT menangguhkan kejayaan buat dirinya. Agar dia dapat merenung dan memperbaiki akan kelemahan dirinya itu. Manakala, jika kegagalan yang diperolehi oleh seseorang itu akan membuatkannya lebih dekat dengan Allah, maka mungkin itulah yang terbaik untuknya. Maka ingatlah, walau bagaimana kuat manapun usaha kita, sehebat manapun perancangan kita, ia tetap tidak akan dapat mengubah perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk diri kita.

Sepertimana apa yang difirmankan Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat ke 54 :


{ وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ }


Yang bermaksud : Perancangan kamu dan perancangan Allah, Sesungguhnya Allah sebaik-sebaik perancang.

Lihatlah pula kepada beberapa kata-kata hikmah di bawah ini. Moga ia dapat menyedarkan dan memberi semangat kepada diri kita.


"Pesan pada hati, sekiranya kau peroleh kejayaan, janganlah kau berbangga diri kerana kejayaan itu pinjaman Allah dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik. Pesan juga pada hati, sekiranya kau menghadapi kegagalan, usah bersedih hati kerana kegagalan ini merupakan satu bentuk ujian Allah untuk menguji sejauh mana kau tabah menghadapinya.."

"Boleh jadi Allah mencegah anda memperoleh sesuatu adalah sebuah kurniaanNYA dan tidak terlaksananya keinginan anda adalah sebuah bentuk kasih sayangNYA, tertundanya pencapaian anda dari apa yang anda inginkan adalah inayah dari Allah, kerana Allah mengetahui diri anda lebih dari anda sendiri.."

"Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu. Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu. Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun. Kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya..."

"Siapakah orang yang manis senyumannya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.."

"Orang yang menyedari bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik bagi hambaNYA, akan merasakan bahawa musibah dan kesulitan apa pun terasa ringan dan mudah. Dan, dia akan sentiasa menantikan kebaikan Allah yang serupa dan tidak pernah bersedih dengan apa pun yang terjadi. Semua itu disebabkan oleh keyakinannya terhadap kebaikan, kemurahan, dan pilihan Allah. Pada saat itulah, kesedihan, kegundahan, dan kesempitan hati akan lenyap, dan dia menyerahkan semua perkara kepada Tuhan Yang Maha Tinggi. Tidak ada istilah tidak menerima, menentang, dan murung. Tetapi sebaliknya, bersyukur dan bersabar sampai akhirnya nanti tampak akibatnya dengan sendirinya, dan mendung musibah itu berlalu.."

"Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu. Pasti akan damailah hatimu,kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mugkin itulah yang DIA mahu. Kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNYA.."

"Dalam kita melangkah terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk dan menangis. Peritnya terasa. Tapi, ketahuilah dan renungilah kembali ke dalam diri, kerana mungkin airmata ketika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang kian tersasar dari keikhlasan kepadaNYA.."

"Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat, tapi, bayak pula dugaan yang datang. Kadang-kadang kita minta cerdik, tapi masalah pula yang bertandang. Kadang-kadang kita minta kebahagiaan, tetapi huru-hara pula menjelang. Dugaan menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru-hara menjadikan kita tabah... SUBHANALLAH.. Betapa hebatnya ALLAH itu.. Semuanya ada hikmah. Kalaulah manusia tahu hadis ini.. " Telah berkata Jibrail a.s: " Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah hajat hambaMu, maka Allah berfirman : " Biarkan hambaKu itu.. kerana Aku mencintai rintih suaranya".... - Anas ibn Malik r.a.

Semoga apa pun keputusan yang kita dapat, sama ada berjaya ataupun gagal, diharap kita semua dapat menerima dengan tabah, sabar dan redha di atas segala perancangan dan ketentuan dari Allah SWT. Semoga kita semua termasuk di kalangan hamba-hamba yang taat dan bersyukur padaNYA.

"Dan ingatlah, bahawa sesungguhnya kejayaan yang sebenarnya adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan DIA redha kepada diri kita.."

"Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan hamba-hambamu yang sentiasa bersyukur dan redha di atas segala ujian dan ketentuanMu.." Amin.



-AL FAQIR ILALLAH-














Posted on 7:45:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »

0 comments: