MANUSIA DAN DIRINYA
Tatkala diberinya Tuhan bukan dikehendaki.
Seringkali manusia mengeluh sendirian,
Mengatakan Tuhan tidak memahami dirinya.
Acapkali manusia sedih terleka,
Merasakan Tuhan tidak bersama.
Lazimnya manusia sukar menanggapi,
Rahsianya hikmah dalam sunnnatullah.
Sering manusia berdalih,
Kerana Tuhanlah ku jadi begini.
Kadang-kadang manusia sedar petunjuk Ilahi,
Namun sering berlepas kerana menuntut mujahadah.
Ada masa Tuhan membuka pintu hijab-Nya,
Tetapi manusia masih tetap leka mengecapi.
Telah Tuhan memberikan cahaya,
Tidak berpaut padanya,
Malah manusia sering memadamkan.
Pasti, manusia terlajak dosa dan noda,
Namun mengapa dibiarkan berlaku?
Sering manusia ingin kembali,
Terkekang oleh nafsu durjana.
Mengapa manusia sering terhijab kasih-Nya Allah,
Mendatangkan kebaikan selepas kemungkaran.
Fitrahnya kemungkaran dengan balasan,
Kebaikan dengan ganjaran.
Rahmat-Nya Tuhan membalasi dalam petunjuk,
Kemungkaran dengan kebaikan.
Agar manusia sedar ar-Rahim-Nya Tuhan,
Agar manusia tahu luasnya pengampunan.
Iman, akal dan nafsu,
Mereka mampu seperti laut, tasik dan sungai.
Laut,
Tibanya masa bergelora menghempas pantai.
Tasik,
Tenangnya mendamaikan meresapi hati.
Sungai,
Alirannya berentakan,
Hujan dipergunungan membawa gelora,
Cerah di puncak memberi tenangan.
Sering manusia di hadapan manusia takutkan Allah,
Di belakang manusia ikutkan syaitan dan nafsu.
Apakah manusia merasai diri meraka Tuhan?
Atau mereka kelak dipertanggungjawabkan atas amalan?
Membuat dosa dan maksiat, dapatkah syurga?
Mengharap rahmat? Layakkah?
Gelora laut dan gelombang ombak,
Biarkan disimpan dalam perjuangan menegakkan Tauhid.
Masa ini,
Tenangkan iman, akal dan nafsu,
Atas kedamaian tasik dan rentak sungai.
Kicauan burung dan geseran dedaun,
Bayangan kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi,
Renungi matlamat dan penghujung hidup,
Bantulah bashirmu dengan bashirah.
Hari ini,
Sudah berapa banyak petunjuk yang Tuhan berikan?
Sudah berapa banyak kita mencari jawapan?
Sudah berapa banyak kita menyesali kesalahan?
Tiap hari tubuh menyentuh tanah,
Kerap terleka kelak berkunjung jua di dalamnya,
Keadaanya dua dan jalannya hanya dua,
Nikmat dengan mujahadah, sengsara dengan kelekaan dunia.
Cahaya petunjuk masih menyuluh,
Jangan manusia terleka dari terus mengikutinya,
Bimbang ia padam tidak kembali,
Tika itu penyesalan yang tidak sedar,
Di hadapan Tuhan kelak hati berdebar,
Berdiri dan melangkah terketar-ketar,
Mengenangkan hisab dan balasan Tuhan.
SELAMAT HARI GURU
Dedikasi khas Selamat Hari Guru buat Cikgu Hajah Salmah bt Haji Khamis yang merupakan guru juga merangkap ibu kepadaku..Terima kasih kerana menjadi guru yang terbaik buat diriku. Kaulah guruku yang paling utama dan banyak berjasa padaku..Penat lelahmu mendidikku sejak dari kecil hingga dewasa amatku hargai. Teruskanlah usaha murnimu mendidik anak bangsa yang lain sepertimana kau mendidik diriku ini. Moga Allah memberkatimu..
Juga diucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, cikgu, ustaz, ustazah, doktor, masyaikh yang telah banyak berjasa mencurahkan ilmu kepada diriku ketika di Tadika KEMAS Muadzam Shah, Sekolah Kebangsaan Bukit Ridan (SKBR), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang (SMKAP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Al Azhar Mesir. Dan juga buat teman-teman seperjuangan serta mereka-mereka yang telah mengajar dan membantu diri ini secara langsung mahu pun tidak langsung.
Diucapkan juga kepada semua guru di dunia ini yang telah berjasa mendidik anak bangsa sehingga menjadi orang yang berguna. Tiada apa yang dapat kami lakukan bagi membalas jasamu yang tidak ternilai ini..Hanya ucapan syukran dan Jazakumullah Khairan Jaza'.
.
- AL FAQIR ILALLAH -
Damba KasihMU
bersama kurnia sekalung hidayahMU tapi..adakalanya terasa membahang kemurkaanMU seiring patahnya sayap mujahadahku..
mendaki kasihMU yang sayup tinggi
namun cintaku bukan palsu
biar langkahku ke sana sering terganggu
Tuhan..
terlerai sudah ribuan taubatku
terungkai bersama semua janjiku yang dulu
kataku sering mungkir
walau ku tahu cintaMU tak pernah meminggir
Tuhan..
walau apapun aku masih terus di sini
mengemis didermaga janjiMU yang pasti
di sini aku masih mendamba kasih
kasihMU tak pernah sirna selama-lamanya
-AL FAQIR ILALLAH-
10 Sahabat Yang Dijamin Masuk Syurga
Siapakah dia sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang telah pun dijamin syurga oleh Allah S.W.T dan RasulNya S.A.W sejak mereka masih di dunia lagi?? Sama-samalah kita mengenali diri mereka yang amat bertuah ini.
Sahabat Rasulullah S.A.W yang dijamin masuk syurga berdasarkan hadis berikut: Tercatat dalam “ARRIYADH ANNADHIRAH FI MANAQIBIL ASYARAH“ dari sahabat Abu Dzar r.a, bahawa Rasulullah S.A.W masuk ke rumah Aisyah r.a dan bersabda: “Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?” Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.” Lalu Nabi S.A.W bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim, Umar masuk syurga dan kawannya Nuh, Utsman masuk syurga dan kawannya adalah Aku, Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakaria, Talhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud, Azzubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail, Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman, Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran, Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam, Abu Ubaidah ibnu Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”
Kisah singkat 10 Sahabat Radhiallahu Taala Anhum :-
1. Abu Bakar bin Abi Qohafah (Assiddiq) r.a, adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah S.A.W, hanya berbeza keluarga. Bila Abu Bakar r.a berasal dari keluarga Tamimi, maka Rasulullah S.A.W berasal dari keluarga Hasyimi. Keutamaannya, Abu Bakar r.a adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Ia seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah S.A.W yang memiliki karakter yang mirip dengan Rasulullah S.A.W. Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar r.a minum arak atau pun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah S.A.W sehingga tak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah S.A.W wafat. Rasulullah S.A.W selalu mengutamakan Abu Bakar r.a berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah -tengah orang lain.
Rasulullah S.A.W bersabda : “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ”(HR. Baihaqi)
Al Quran pun banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti yang dikatakan dalam firmanNya, surah Al Lail ayat 5-7, 17-21, Fushilat ayat 30, At Taubah ayat 40. Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar r.a telah banyak memperbaharui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang enggan membayar zakat. Pada masa pemerintahannyalah penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.
2. Umar Ibnu Khattab r.a, ia berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah S.A.W. Umar r.a masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah r.a dan suami adiknya Said bin Zaid r.a pada tahun keenam kenabian dan sebelum Umar r.a, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Di sisi kaumnya Umar r.a dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog, memecahkan permasalahan serta berwatak kasar. Setelah Umar r.a masuk Islam, dakwah kemudian dilakukan secara terang-terangan. Begitupun di saat hijrah, Umar r.a adalah segelintir orang yang berhijrah dengan terang-terangan. Ia sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar r.a berkata, ”Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghalang aku di belakang lembah ini!” Mendengar perkataan Umar r.a tak seorang pun yang berani mencegah Umar. r.a Banyak pendapat Umar r.a yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firmanNya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay, ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan turunnya ayat 67 surat Al Anfal.
Sebagai khalifah Islam yang kedua, Umar adalah seorang yang sangat memperhatikan kesejahteraan umatnya, sampai setiap malam ia berkeliling kerana khuatir masih ada yang belum terpenuhi keperluannya, serta kekuasaan Islam pun semakin meluas keluar jazirah Arab.
3. Utsman bin Affan r.a, sebuah Hadis yang menggambarkan peribadi Utsman r.a : “Orang yang paling kasih sayang di antara ummatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Utsman. (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi). Utsman r.a adalah seorang yang sangat dermawan, dalam sebuah persiapan pasukan pernah Utsman r.a yang membiayainya seorang diri. Setelah kaum muslimin hijrah, saat kesulitan air, Utsmanlah yang membeli sumur dari seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin. Pada masa kepemimpinannya Utsman r.a merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, dari lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a.
4. Ali bin Abi Talib r.a, merupakan sepupu Rasulullah S.A.W dan kanak-kanak pertama yang masuk Islam. Beliau yang menggantikan posisi Rasulullah S.A.W di tempat tidurnya saat beliau hijrah. Semasa berlakunya perang Badar, Ali r.a menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba. Beliau mengahwini Fatimah r.a, anak Rasulullah S.AW. Ketika itu beliau berumur 25 tahun dan Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Ali r.a menjual baju besi perangnya untuk dijadikan mahar. Walaupun begitu para sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu demi memuliakan Rasulullah S.A.W, kekasih yang amat mereka cintai.
5. Talhah bin Ubaidillah r.a, yang pada perang Uhud terkena lebih dari tujuh puluh tikaman atau panah serta jari tangannya putus. Namun Talhah r.a yang sangat berani dan kuat inilah yang menjadi perisai melindungi Rasulullah S.A.W di saat-saat genting, beliau memapah Rasulullah S.A.W yang tubuhnya telah berdarah menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan pertempuran saat kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana mengira Rasulullah S.A.W telah wafat. Saat itu Talhah r.a berkata kepada Rasulullah S.A.W, ”Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku.” Nabi S.A.W tersenyum seraya berkata, ”Engkau adalah Talhah kebajikan.” Sejak itu beliau mendapat julukan Burung Helang hari Uhud. Rasulullah S.A.W pernah berkata kepada para sahabatnya, ”Orang ini termasuk yang gugur dan barang siapa yang senang melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Thalhah.”
6. Azzubair bin Awwam r.a, sahabat yang berikutnya, adalah sahabat karib dari Talhah r.a. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan hijrah pada usia 18 tahun. Dengan seksaan yang ia terima dari pakciknya sendiri. Kepahlawanan Azzubair ibnu Awwam r.a terlihat dalam perang Badar saat ia berhadapan dengan Ubaidah bin Said Ibnul Ash. Azzubair ibnu Awwam r.a berhasil menombak kedua matanya sehingga akhirnya ia tersungkur tak bergerak lagi, hal ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.
Rasulullah sangat mencintai Azzubair ibnu Awwam r.a. Beliau pernah bersabda, ”Setiap nabi memiliki pengikut pendamping yang setia (hawari), dan hawariku adalah Azzubair ibnu Awwam.” Azzubair ibnu Awwam r.a adalah suami Asma binti Abu Bakar r.a yang menghantarkan makanan pada Rasulullah S.A.W saat beliau hijrah bersama ayahnya. Pada masa pemerintahan Umar r.a, saat panglima perang menghadapi tentara Romawi di Mesir, Amr bin Ash r.a meminta bala bantuan pada Amirul Mukminin, Umar r.a mengirimkan 4000 tentera yang dipimpin oleh 4 orang panglima, dan ia menulis surat yang isinya, ”Aku mengirim empat ribu tentera bantuan yang dipimpin oleh 4 orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai 1000 orang. Tahukah anda siapa empat orang panglima itu? Mereka adalah Ubadah ibnu Assamit, Almiqdaad ibnu Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Azzubair bin Awwam.” Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih kemenangan.
7. Abdurrahman bin Auf r.a, adalah seorang pedagang yang berjaya. Namun saat berhijrah ia meninggalkan semua harta yang telah ia usahakan sekian lama. Namun selepas berhijrah ke Madinah pun beliau kembali menjadi seorang yang kaya raya, dan saat beliau meninggal, wasiat beliau adalah agar setiap peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar, sedang yang masih hidup saat itu sekitar 100 orang, termasuk Ali r.a dan Utsman. r.a Beliaupun berwasiat agar sebahagian hartanya diberikan kepada ummahatul muslimin, sehingga Aisyah r.a berdoa: “Semoga Allah memberi minum kepadanya air dari mata air Salsabil di syurga.”
8. Saad bin Abi Waqqash r.a, beliau adalah orang yang mula-mula melepaskan anak panah dalam membela agama Allah, dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Seorang yang keislamannya sangat dikecam oleh ibunya, namun tetap tabah, dan kukuh pada keislamannya. Saad bin Abi Waqqash r.a memeluk Islam sewaktu berusia l7 tahun, dan keislamannya termasuk yang terdahulu di antara para sahabat. Hal ini pernah diceritakannya sendiri, katanya:
"Pada suatu saat saya beroleh kesempatan termasuk 3 orang pertama yang masuk Islam." Maksudnya bahawa beliau adalah salah seorang di antara tiga orang yang paling awal masuk Islam. Sesungguhnya Saad bin Abi Waqqash r.a adalah pakcik Nabi S.A.W juga. Kerana dia adalah dari Bani Zuhrah sedangkan Bani Zuhrah adalah keluarga Aminah binti Wahab, ibunda Rasulullah S.A.W.
9. Said bin Zaid r.a, beliau adalah adik ipar Umar r.a. Adalah orang yang dididik oleh seorang ayah yang beroleh hidayah Islam tanpa melalui kitab atau nabi mereka seperti halnya Salman Al Farisi r.a, dan Abu Dzar Al Ghifari r.a. Banyak orang yang lemah berkumpul di rumah mereka untuk memperoleh ketenteraman dan keamanan, serta penghilang rasa lapar, kerana Said bin Zaid r.a adalah seorang sahabat yang sangat dermawan dan murah tangan.
Begitulah serba sedikit kisah dan keperibadian 10 sahabat yang telah dijamin masuk syurga oleh Allah S.W.T dan RasulNya S.A.W di atas sumbangan dan pengorbanan besar mereka terhadap Islam. Mudah-mudahan kita semua mendapat iktibar dan pedoman untuk mengikuti jejak langkah mereka semua..InsyaAllah..Amin...
-AL FAQIR ILALLAH-
Nur ilahi
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat. Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya..." Fatimah mula sebak. "Tak. Maksud saya....." "Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar. "Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. "Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua. Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah.
Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri. Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah. "Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas. "Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri. "Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu. "Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu. "Baiklah," jawab Fikri tersenyum. Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Maka mereka pun berwalimah pada tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak belah pengantin.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
Pada suatu hari, "Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. "Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya. "Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum. "Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang. Namun di hatinya Allah SWT sahaja yang tahu.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
Setelah beberapa lama berada dalam perjalanan, mereka tiba ke tempat yang dikatakan Fikri ada isteri pertamanya. "Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta. "Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut. "Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri. "Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya. "Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar. Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang. "Perjuangan," jawab Fikri
- AL FAQIR ILALLAH -.