MELENGAHKAN SOLAT

Solat adalah rukun kedua dalam Rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Ia juga merupakan tiang kepada agama Islam. Sesungguhnya ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah SWT kerana Baginda Nabi SAW sendiri telah menerimanya secara langsung daripada Allah SWT di ‘Sidratulmuntaha’, dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat sembahyang ini adalah berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain seperti ibadat puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S. Ini menunjukkan bahawa ibadat solat itu terlalu istimewa dan amat penting disisi Allah SWT.

Kewajipan mendirikan solat telah diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa’ Ayat 103 :




Maksudnya :


Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah An-Nisa' : ayat 103)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak dinafikan bahawa kebanyakan orang-orang Islam di seluruh dunia menunaikan perintah solat 5 waktu sehari semalam. Akan tetapi masih ada lagi yang tidak mengambil berat akan perintah solat ini. Ada yang solat mengikut mood mereka sahaja dan lebih teruk lagi ada yang meninggalkan solat terus.

Di dalam kelompok mereka yang bersolat pula, ada yang suka menangguh-nangguhkan dan melewat-lewatkan solat mereka. Tidakkah kita semua ketahui bahawa menangguh-nangguhkan dan melewat-lewatkan solat dengan sengaja tanpa ada uzur yang dibenarkan adalah berdosa besar. Oleh itu, sesiapa yang meremeh-remehkan dan mensia-siakan tentang ibadat solat, mereka itu adalah merupakan golongan yang lalai.

Allah SWT berfirman dalam Surah Maryam Ayat 59, yang bermaksud :

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka."

(Surah Maryam : Ayat 59)

Abdullah bin Abbas R.A berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya. Umpamanya mereka melaksanakan Solat Zuhur dalam waktu Asar, Solat Asar di dalam waktu Maghrib, Solat Isyak ditanguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta Solat Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama ‘Al-Ghai’a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :

"Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar".
(Riwayat Al-Hakim)

Nah, lihatlah ancaman-ancaman yang telah diberi oleh Allah SWT dan RasulNYA SAW tentang azab dan siksaan yang menanti mereka yang suka melengah-lengahkan dan melewat-lewatkan solat dengan sengaja.

Ingin ditegaskan di sini bahawa, jika sudah masuk waktu solat, dan kita masih lagi tidak menunaikan solat dan melengah-lengahkannya walaupun sekejap tanpa ada sebab yang dibenarkan, ianya juga dikira termasuk di dalam golongan mereka yang melewat-lewatkan solat.

Oleh itu, sedarlah wahai saudara-saudaraku sekalian. Terutamanya pada mereka-mereka yang mengaku dirinya sebagai pejuang-pejuang dan pembela-pembela Islam, hendaklah kita menjaga solat kita dengan sebaik-baiknya. Hendaklah solat di awal waktu dan janganlah melengah-lengahkannya dengan sengaja kerana solat di awal waktu itu lebih afdal dan sangat-sangat dituntut dan mendapat keredhaan daripa Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud :

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Mukminun, ayat 8-11)


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang lebih utama? Baginda SAW menjawab: Solat tepat pada waktunya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Barang siapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya dan khusyuk, maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah SWT menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang bersolat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah SWT mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah SWT, iapun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.”
(Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Lihatlah antara kelebihan-kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang menanti mereka yang menjaga dan memelihara solatnya di awal waktu. Maka, terpulanglah pada diri kita sendiri. Jika kebahagiaan dan keredhaan Allah yang kita cari, maka jagalah solat kita sebaik-baiknya dengan bersolat di awal waktu. Jika tidak, bersiap sedialah untuk menghadapi pembalasan azab dan siksaan daripada Allah SWT di akhirat nanti.

"Ya Allah, Engkau berilah kekuatan kepada kami untuk menunaikan solat di awal waktu. Dan Engkau terimalah solat kami itu dengan sempurna.."Amin..


- AL FAQIR ILALLAH -
Posted on 9:17:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

0 comments: