Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh Tuhanku
Ku tempuh jua...
Posted on 4:32:00 pm by egtanta and filed under | 3 Comments »

Madrasah Ramadhan

Lama rasanya blog ini tidak diupdate. Kesibukan dengan kelas pengajian bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki serta program di rumah Pahang di Kaherah membataskan sedikit waktuku. Sekarang kelas Syeikh Nuruddin ditawakufkan buat sementara waktu kerana beliau pergi menunaikan umrah dan kelas mungkin akan disambung semula selepas beliau pulang dari mengerjakan umrah iaitu pada 16 hb ini. Jadi aku mempunyai waktu untuk pulang ke Tanta untuk bersama-sama dengan ahli baitku untuk berpuasa bersama serta ada sedikit masa untukku menyelesaikan kerja-kerja yang terbengkalai serta meng'update'kan blog ini.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.

(Surah Al-Baqarah : 183)


Sedar tidak sedar sekarang kita telah pun berada di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak. Syukur kehadrat Allah kerana masih lagi memberi kesempatan serta peluang kepada kita semua untuk terus berada di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Yang mana di dalamnya terdapat banyak kelebihan dan ganjaran yang disediakan oleh Allah kepada kita. Namun begitu, sejauh manakah penghayatan kita di bulan Ramadhan yang mulia ini??

Berapa ramaikah orang yang berpuasa, tetapi puasa mereka itu tidak memberi apa-apa kesan pun kepada diri mereka. Mereka hanya mendapat penat, lapar serta dahaga sahaja. Puasa mereka langsung tidak diterima oleh Allah. Kenapa begitu? Hal ini kerana mereka berpuasa, tetapi mereka meninggalkan perintah Allah yang lain seperti tidak bersolat, tidak menutup aurat, mengumpat, melakukan maksiat dan sebagainya.

Alangkah ruginya bagi mereka yang apabila telah datangnya bulan Ramadhan, tetapi mereka langsung tidak merebut peluang yang ada. Bagi mereka bulan Ramadhan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain. Yang membezakannya hanyalah diwajibkan berpuasa di siang harinya hingga terbenam matahari serta bertarawih di malamnya sahaja. Mereka langsung tidak mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amalan serta ibadah sunat yang lain di bulan Ramadhan ini. Mereka leka hanyut dengan perkara-perkara yang lagha.

Tahukah kita, bahawa di dalam bulan Ramadhan ini, Allah SWT telah menyedia banyak kelebihan serta ganjaran yang mana tidak ada di dalam bulan-bulan yang lain. Sepuluh hari di awalnya diberikan rahmat, sepuluh di pertengahannya diberikan keampunan, dan sepuluh di akhirnya diberikan pembebasan daripada api neraka. Pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu-pintu neraka ditutup dan para jin dan syaitan diikat. Setiap amalan yang kita lakukan pula akan diganjari dengan berlipat kali ganda. Setiap amalan sunat yang kita lakukan dianggap sebagai amalan fardu. Dan setiap amalan fardu yang dilakukan pula akan diganjari sehingga 700 pahala.

Dan yang paling penting, terdapatnya malam Lailatul Qadar (malam mulia), iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Malam di mana pintu-pintu langit dibukakan, doa dikabulkan dan segala takdir yang terjadi pada tahun itu ditentukan.

Sabda Rasulullah SAW :

من قام رمضان إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه

Yang bermaksud : Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala (dari Allah), nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.

(Mutafaqun Alaih)

Terdapat banyak lagi kelebihan serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan amal dan ibadah kita seperti solat berjemaah, solat sunat, membaca dan bertadarus Al Quran, berzikir, bersedekah, beriktikaf, berdoa dan melakukan amal kebajikan yang lain. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai madrasah untuk kita mentarbiah diri, hati serta jiwa kita dengan sebaik-baiknya. Rebutlah peluang yang ada. Jangan sia-siakannya dan membiarkannya berlalu begitu sahaja.

Photobucket

Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dan memberi makna yang cukup bernilai pada diri kita semua.

" Ya Allah, Kau berilah kekuatan kepada kami agar dapat kami merebut peluang yang ada dengan memperbanyakkan amal ibadah kami di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini serta dapat kami jadikannya sebagai madrasah untuk kami mentarbiah diri kami ini..Dan Kau terimalah ibadah puasa, amal kebajikan yang kami kerjakan ini serta pertemukan kami dengan malam Lailatul Qadar.."Amin..


-AL FAQIR ILALLAH-

Posted on 6:10:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »