Qunut Nazilah Untuk Palestin

Ketika semua masyarakat di seluruh dunia menyambut Tahun Baru 2009 dengan penuh meriah, saudara-saudara kita di Palestin telahpun diberikan "hadiah yang amat istimewa" sempena tahun baru ini oleh tentera-tentera Israel laknatullah dengan melancarkan serangan bertalu-talu ke arah penempatan penduduk-penduduk Palestin di Gaza. Hari ini merupakan hari keenam Israel laknatullah melancarkan serangannya di Gaza. Serangan yang bermula sejak 27 Disember 2008 ini dilihat semakin hebat. Jumlah mangsa (penduduk Palestin Gaza) yang terkorban (syahid) adalah seramai 400 orang, manakala 2000 lagi mengalami kecederaan termasuk yang kritikal.

Serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel laknatullah ini mendapat kecaman dan bantahan daripada semua masyarakat di seluruh dunia. Demontrasi-demontrasi telah dilakukan di kebanyakan negara bagi membantah serangan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel laknatullah. Namun, ia tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada Israel, malahan mereka memperhebatkan lagi serangan mereka.

Kita semua tidak mampu untuk mengangkat senjata pergi berjihad menolong saudara-saudara kita di Palestin. Namun, kita masih lagi ada "senjata rahsia" untuk menolong mereka iaitu dengan berdoa Qunud Nazilah kepada mereka, menderma dan memberi bantuan kewangan, serta memboikot produk-produk Israel.

Ramai orang yang marah, sensitif dan membantah serangan yang dilakukan oleh tentera Israel laktullah, namun mereka tidak sedar bahawa merekalah yang menjadi penyumbang dan menyalurkan wang kepada Israel dengan membeli dan menggunakan barangan-barangan serta produk-produk Israel. Oleh itu, kempen boikot yang telah diseru dan diwar-warkan oleh ulama-ulama dan persatuan-persatuan Islam selama ini harus diteruskan dan diperhebatkan lagi.




Qunut Nazilah

Qunut secara istilahnya adalah seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah:

“Suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri.” (Fathul Bari 2/490).


Nazilah ertinya "malapetaka atau musibah yang turun menimpa kaum muslimin dalam bentuk gempa, banjir, peperangan, penganiayaan dan sebagainya".


Hukum Membaca Qunut Nazilah

Qunut Nazilah adalah suatu hal yang disyariatkan dan amat disunnahkan ketika terjadi musibah. Sunnah Qunut Nazilah ini merupakan pendapat para ulama dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan lain-lainnya. Imam Syafie rahimahullah berkata: “Apabila turun musibah kepada kaum muslimin disyariatkan membaca Qunut Nazilah pada seluruh solat wajib.”
(Syarhus Sunnah karya Al-Baghawi 2/279).

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata : “Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang dibelakangnya.” (Al-Mughni 1/450).

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Di kalangan ulama ada tiga pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari tiga pendapat tersebut, qunut disunnahkan ketika ada keperluan.،¨ (Taudhih Al-Ahkam).

Pendapat-pendapat di atas tentunya berlandaskan hadis-hadis yang sahih mutawatir seperti hadis Anas bin Malik R.A riwayat Bukhari-Muslim yang menjelaskan pelaksanaan Qunut Nazilah oleh Rasulullah S.A.W selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 sahabat penghafaz Al-Quran, juga hadis Abu Hurairah R.A riwayat Bukhari-Muslim.

قنوت النازلة

اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ في نُحُورِ أَعْدَائِنَا وَنَعُوذُبِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ اللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَدِّدْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ يَا قَهَّارُ... يَا جَبَّارُ... يَا مُنْتَقِمُ... يَا اللهُ... اللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَاب...وَيَا مُجْرِيَ السَّحَاب...ويا هَازِمَ الأَحْزَاب... اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ


Ya Allah.. Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka. Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka. Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang gagah perkasa, Wahai Tuhan yang penuh raksasa, Wahai Tuhan yang bersifat murka. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Wahai Tuhan yang mengerakkan awan, Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab, Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka. Dan menangkan kami ke atas mereka.


Bersama-samalah kita berdoa agar saudara-saudara kita di Palestin selamat dan Allah S.W.T memberi kemenangan kepada mereka dan menghancurkan Zionis Israel laknatullah..Amin..



-AL FAQIR ILALLAH-
















Posted on 11:11:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »