Antara Kejayaan Dan Kegagalan

Alhamdulillah..Natijah imtihan Universiti Al Azhar tahun ini sudah pun keluar. Pastinya kebanyakan natijah-natijah di seluruh muhafazah sudah pun keluar. Dan kedengarannya tahun ini bakal terciptanya sejarah, kerana begitu ramai pelajar-pelajar yang tidak najah khususnya di Tanta kerana pihak Universiti Al Azhar dikatakan sedikit syadid pada tahun ini. Bagaimana dengan natijah ku??Najahkah ataupun sebaliknya?? Alhamdulillah kesyukuran yang tidak terhingga ku panjatkan kepada Allah Yang Maha Esa kerana aku najah dalam imtihan kali ini. Walaupun keputusanku mangkulain (bawa 2 madah), namun ku tetap bersyukur kerana tetap najah dan dapat naik tahun. Tiada lafaz dan kata-kata yang dapat ku ungkapkan kecuali dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji dan bersyukur padaMU Ya Allah.. Kini sedar tidak sedar aku sudah pun berada di tahun 4 iaitu tahun akhir pengajian. Terima kasih padaMU Ya Allah..

Bagaimana pula dengan natijah sahabat-sahabat seperjuangan ku yang lain?? Pastinya ada yang gembira dengan keputusan natijah mereka dan ada pula yang sedih dan kecewa dengan keputusan natijah mereka itu. Buat sahabat-sahabat yang najah, mabruk diucapkan di atas kejayaan itu. Bergembiralah dengan banyak memuji Allah SWT. Manakala, buat sahabat-sahabat yang tidak najah, takziah diucapkan. Bersabarlah di atas ketentuan dan ujian yang diberi oleh Allah itu. Mungkin tiada rezeki. Terimalah dengan tabah dan redha. Pastinya ada hikmah di sebaliknya.

Kepada sahabat-sahabat yang berjaya, janganlah alpa dan lalai dengan kejayaan itu. Ingatlah, semua itu datangnya dari Allah SWT. Maka, perbanyakkanlah memuji dan bersyukur padaNYA. Moga kita termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur. Manakala, buat sahabat-sahabat yang tidak berjaya, usahlah bersedih. Tabahkanlah hati dan terimalah dengan sabar dan redha. Perbanyakkan lagi usaha di masa hadapan. Jangan putus asa. Pastinya Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran dan kekuatan iman kita padaNYA.

Tidak semestinya mereka yang berjaya itu telah berjaya dan akan berjaya selamanya. Dan tidak semestinya mereka yang gagal itu telah gagal dan akan gagal selamanya. Kerana, disebalik apa yang Allah SWT tentukan itu, pastinya ada hikmah yang terbaik buat diri kita. Boleh jadi, jika kejayaan yang diperolehi oleh seseorang itu akan membuatkannya lalai, leka, lupa dan kufur pada nikmat Allah. Maka Allah SWT menangguhkan kejayaan buat dirinya. Agar dia dapat merenung dan memperbaiki akan kelemahan dirinya itu. Manakala, jika kegagalan yang diperolehi oleh seseorang itu akan membuatkannya lebih dekat dengan Allah, maka mungkin itulah yang terbaik untuknya. Maka ingatlah, walau bagaimana kuat manapun usaha kita, sehebat manapun perancangan kita, ia tetap tidak akan dapat mengubah perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk diri kita.

Sepertimana apa yang difirmankan Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat ke 54 :


{ وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ }


Yang bermaksud : Perancangan kamu dan perancangan Allah, Sesungguhnya Allah sebaik-sebaik perancang.

Lihatlah pula kepada beberapa kata-kata hikmah di bawah ini. Moga ia dapat menyedarkan dan memberi semangat kepada diri kita.


"Pesan pada hati, sekiranya kau peroleh kejayaan, janganlah kau berbangga diri kerana kejayaan itu pinjaman Allah dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik. Pesan juga pada hati, sekiranya kau menghadapi kegagalan, usah bersedih hati kerana kegagalan ini merupakan satu bentuk ujian Allah untuk menguji sejauh mana kau tabah menghadapinya.."

"Boleh jadi Allah mencegah anda memperoleh sesuatu adalah sebuah kurniaanNYA dan tidak terlaksananya keinginan anda adalah sebuah bentuk kasih sayangNYA, tertundanya pencapaian anda dari apa yang anda inginkan adalah inayah dari Allah, kerana Allah mengetahui diri anda lebih dari anda sendiri.."

"Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu. Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu. Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun. Kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya..."

"Siapakah orang yang manis senyumannya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.."

"Orang yang menyedari bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik bagi hambaNYA, akan merasakan bahawa musibah dan kesulitan apa pun terasa ringan dan mudah. Dan, dia akan sentiasa menantikan kebaikan Allah yang serupa dan tidak pernah bersedih dengan apa pun yang terjadi. Semua itu disebabkan oleh keyakinannya terhadap kebaikan, kemurahan, dan pilihan Allah. Pada saat itulah, kesedihan, kegundahan, dan kesempitan hati akan lenyap, dan dia menyerahkan semua perkara kepada Tuhan Yang Maha Tinggi. Tidak ada istilah tidak menerima, menentang, dan murung. Tetapi sebaliknya, bersyukur dan bersabar sampai akhirnya nanti tampak akibatnya dengan sendirinya, dan mendung musibah itu berlalu.."

"Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu. Pasti akan damailah hatimu,kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mugkin itulah yang DIA mahu. Kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNYA.."

"Dalam kita melangkah terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk dan menangis. Peritnya terasa. Tapi, ketahuilah dan renungilah kembali ke dalam diri, kerana mungkin airmata ketika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang kian tersasar dari keikhlasan kepadaNYA.."

"Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat, tapi, bayak pula dugaan yang datang. Kadang-kadang kita minta cerdik, tapi masalah pula yang bertandang. Kadang-kadang kita minta kebahagiaan, tetapi huru-hara pula menjelang. Dugaan menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru-hara menjadikan kita tabah... SUBHANALLAH.. Betapa hebatnya ALLAH itu.. Semuanya ada hikmah. Kalaulah manusia tahu hadis ini.. " Telah berkata Jibrail a.s: " Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah hajat hambaMu, maka Allah berfirman : " Biarkan hambaKu itu.. kerana Aku mencintai rintih suaranya".... - Anas ibn Malik r.a.

Semoga apa pun keputusan yang kita dapat, sama ada berjaya ataupun gagal, diharap kita semua dapat menerima dengan tabah, sabar dan redha di atas segala perancangan dan ketentuan dari Allah SWT. Semoga kita semua termasuk di kalangan hamba-hamba yang taat dan bersyukur padaNYA.

"Dan ingatlah, bahawa sesungguhnya kejayaan yang sebenarnya adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan DIA redha kepada diri kita.."

"Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan hamba-hambamu yang sentiasa bersyukur dan redha di atas segala ujian dan ketentuanMu.." Amin.



-AL FAQIR ILALLAH-














Posted on 7:45:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »

MELENGAHKAN SOLAT

Solat adalah rukun kedua dalam Rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Ia juga merupakan tiang kepada agama Islam. Sesungguhnya ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah SWT kerana Baginda Nabi SAW sendiri telah menerimanya secara langsung daripada Allah SWT di ‘Sidratulmuntaha’, dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat sembahyang ini adalah berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain seperti ibadat puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S. Ini menunjukkan bahawa ibadat solat itu terlalu istimewa dan amat penting disisi Allah SWT.

Kewajipan mendirikan solat telah diperintahkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa’ Ayat 103 :




Maksudnya :


Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah An-Nisa' : ayat 103)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak dinafikan bahawa kebanyakan orang-orang Islam di seluruh dunia menunaikan perintah solat 5 waktu sehari semalam. Akan tetapi masih ada lagi yang tidak mengambil berat akan perintah solat ini. Ada yang solat mengikut mood mereka sahaja dan lebih teruk lagi ada yang meninggalkan solat terus.

Di dalam kelompok mereka yang bersolat pula, ada yang suka menangguh-nangguhkan dan melewat-lewatkan solat mereka. Tidakkah kita semua ketahui bahawa menangguh-nangguhkan dan melewat-lewatkan solat dengan sengaja tanpa ada uzur yang dibenarkan adalah berdosa besar. Oleh itu, sesiapa yang meremeh-remehkan dan mensia-siakan tentang ibadat solat, mereka itu adalah merupakan golongan yang lalai.

Allah SWT berfirman dalam Surah Maryam Ayat 59, yang bermaksud :

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka."

(Surah Maryam : Ayat 59)

Abdullah bin Abbas R.A berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya. Umpamanya mereka melaksanakan Solat Zuhur dalam waktu Asar, Solat Asar di dalam waktu Maghrib, Solat Isyak ditanguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta Solat Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama ‘Al-Ghai’a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :

"Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar".
(Riwayat Al-Hakim)

Nah, lihatlah ancaman-ancaman yang telah diberi oleh Allah SWT dan RasulNYA SAW tentang azab dan siksaan yang menanti mereka yang suka melengah-lengahkan dan melewat-lewatkan solat dengan sengaja.

Ingin ditegaskan di sini bahawa, jika sudah masuk waktu solat, dan kita masih lagi tidak menunaikan solat dan melengah-lengahkannya walaupun sekejap tanpa ada sebab yang dibenarkan, ianya juga dikira termasuk di dalam golongan mereka yang melewat-lewatkan solat.

Oleh itu, sedarlah wahai saudara-saudaraku sekalian. Terutamanya pada mereka-mereka yang mengaku dirinya sebagai pejuang-pejuang dan pembela-pembela Islam, hendaklah kita menjaga solat kita dengan sebaik-baiknya. Hendaklah solat di awal waktu dan janganlah melengah-lengahkannya dengan sengaja kerana solat di awal waktu itu lebih afdal dan sangat-sangat dituntut dan mendapat keredhaan daripa Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud :

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Mukminun, ayat 8-11)


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang lebih utama? Baginda SAW menjawab: Solat tepat pada waktunya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Barang siapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya dan khusyuk, maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah SWT menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang bersolat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah SWT mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah SWT, iapun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.”
(Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Lihatlah antara kelebihan-kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang menanti mereka yang menjaga dan memelihara solatnya di awal waktu. Maka, terpulanglah pada diri kita sendiri. Jika kebahagiaan dan keredhaan Allah yang kita cari, maka jagalah solat kita sebaik-baiknya dengan bersolat di awal waktu. Jika tidak, bersiap sedialah untuk menghadapi pembalasan azab dan siksaan daripada Allah SWT di akhirat nanti.

"Ya Allah, Engkau berilah kekuatan kepada kami untuk menunaikan solat di awal waktu. Dan Engkau terimalah solat kami itu dengan sempurna.."Amin..


- AL FAQIR ILALLAH -
Posted on 9:17:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »

DIMANAKAH SENSITIVITI KITA?


Boikot??ish,susahla..Kalau boikot kita nak makan dan pakai apa nanti??Sebab barang-barang Israel dan Amerika banyak. Kita tak boleh nak elak. Kebanyakan barang-barang keperluan kita semuanya dari Israel dan Amerika. Kalau kita boikot pun masih ada orang lain yang beli. Lagipun kalau kita boikot bukannya mendatangkan apa-apa kesan pada ekonomi mereka pun. Menyusahkan dan merugikan kita jek..

Itulah antara kata-kata dan alasan-alasan kita untuk tidak menjayakan kempen boikot ini.Adakah betul dan munasabah alasan-alasan itu dan bolehkah ianya diterima???

Cuba kita lihat kepada fatwa tokoh-tokoh ulama kita iaitu antaranya Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi yang berfatwa haram hukumnya umat Islam membeli produk dan barang dagangan Yahudi dan Amerika, dan menganggapnya itu sebagai salah satu dosa besar. Manakala Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Thantawi, Syeikhul Azhar, yang selama ini terkesan lentur dalam setiap pernyataannya, kini lebih tegas lagi akan kemestian memerangi musuh-musuh Islam, iaitu katanya "Apabila kamu tidak mampu memerangi mereka (musuh-musuh Islam, Israel dan Amerika) dengan senjata, maka minimal lawanlah dengan memboikot barang-barang dan produk-produk mereka."

Lihatlah dan cubalah kita fahami dan mendalami apa yang telah difatwakan oleh tokoh-tokoh ulama kita itu. Adakah kita masih lagi tidak faham dengan apa yang telah difatwakan itu?Masihkah lagi kita ingin membeli barangan-barangan mereka itu??Tidak ada rasa bersalahkah dalam diri kita ini?Dimanakah sensitiviti kita terhadap apa yang telah difatwakan dan atas nasib yang menimpa saudara-saudara seagama kita yang dibunuh dengan sewenang-wenangnya di Palestin??Adakah kita ini masih boleh mengakui bahawa kita ini seorang Islam jika kita masih lagi menyalurkan wang kita kepada Israel dan Amerika dengan membeli produk-produk mereka untuk membunuh saudara-saudara kita di Palestin??








Sebuah laporan di Amerika menyatakan bahawa kempen boikot terhadap produk-produk Israel dan Amerika di negara-negara Arab telah mengakibatkan kerugian sebanyak 40% kepada mereka.Nah,lihatlah betapa berjayanya kempen boikot yang telah dilakukan itu.

Jika kita memboikot produk-produk Israel dan Amerika, kita masih lagi mempunyai alternatif lain lagi, kerana sekarang ini sudah banyak terdapat produk-produk yang dibuat oleh peniaga-peniaga Islam bagi menyaingi produk-produk Israel dan Amerika.

Ketahuilah bahawa (RM1=sebutir peluru untuk membunuh rakyat Palestin)..

Adakah kita rela untuk menyumbangkan wang untuk musuh-musuh Islam??

Adakah kita rela saudara seakidah dengan kita dibedil dengan peluru-peluru akibat dari sumbangan kita??

Tiadakah terdetik langsung dihati kita sebagai seorang muslim untuk membantu saudara-saudara seagama kita di Palestin??

Kita tidak mampu dan tak berdaya untuk mengangkat senjata berjihad bersama-sama saudara kita di Palestin untuk menentang Yahudi laknatullah..

Tapi..apa yang kita mampu dan harus buat ialah berdoa dan memboikot semua barangan-barangan Yahudi dan Amerika untuk melumpuhkan ekonomi mereka..

Jadi..Sedarlah dan muhasabahlah diri kita semua wahai saudara-saudaraku..Adakah wang yang kita belanjakan untuk membeli produk-produk Israel dan Amerika menyebabkan beribu-ribu saudara-saudara kita di Palestin terbunuh??

Demi memastikan tiada sumbangan kita terhadap mereka yang sentiasa ingin menghancurkan Islam..Maka mari kita semua bersama-sama menjayakannya...BOIKOT...AYUH!!!

Berikut adalah antara senarai produk-produk Israel dan Amerika yang perlu kita boikot :



Makanan
-Syarikat Tasty FoodsProduk: Makanan RinganJenama: Samba, Fun, Lays... dan sebagainya.
-Syarikat HeinzProduk: Puri Tomato, Ketchup, Sos Cili & Tomato... dan sebagainya.
-Syarikat LambertProduk: Gula-gulaJenama: Chiclets, Adams, Clorets, Snack, Halls... dan sebagainya.
-Syarikat HosstessProduk: Makanan Ringan & KekJenama: Twinkess, Hos Hos, Cup Cake... dan sebagainya.
-Syarikat CadburyProduk: Coklat, Gula-gula, makanan ringan... dan sebagainya.
-Syarikat Coca-colaProduk: Minuman bergasJenama: Coca-cola, Fanta, Sprite, Pepsi, 7-up, ---Mountain Dew, Miranda... dan sebagainya.
-Syarikat Hadaiq California
-Syarikat RockyProduk: Basbuosah, Jeli Om-Ali... dan sebagainya.
-Syarikat Perrier-VittelProduk: Air Galian Barakah... dan sebagainya
-Syarikat NestleProduk: Makanan Ringan, Minuman, Campuran MasakanJenama: Kit-kat, -Perrier, Nescafe, Maggie, Vittel, Pure Life, Nido, Smarties, Lion, Polo, After Eight, Coffe Mate, -Nesquik, Aero, Quality Street, Felix (makanan haiwan-kucing), Croose & Blackwell, Milkmaid, -Carnation, Shreddies, Baci Baby Ruth, ButterFinger, MilkyBar, Frutips... dan sebagainya.
-Syarikat AmericanaProduk: Burger, Sausage, Ayam... dan sebagainya.
-Minyak Sayuran Rawabi, Fern
-Makaroni Columbus, Hayo ,Chipsy,Delta,Super Market,Sainsburry,Heiz,Edge,Tesco

Kedai Makan/Restoran

-McDonalds,Tikka,Kentucky Fried Chicken (KFC),Kantis,Arby's,Pizza Hut,Chicken Tikka Paradise,McBurger.

Alat Pencuci dan Kecantikan

-Syarikat Procter & GambleProduk: Kesihatan, Syampu, SabunJenama: Head & Shoulders, Pert Plus, Pantene, Always, Tide, Crest, Pampers, Lux, Palmolive, Camay, Zest, Ariel, Fairy, Signal 2, Close Up, Colgate, Monsieur Propre, Oil of Olaz, Petrol Hahn, Pringles, Sanicroix, Tampax, Tempo, Vicks, Vizir, Yes Swiffer, Ace, Action 500, Bonux, Mr Clean... dan sebagainya.
Syarikat PalmoliveProduk: Pencuci dan SabunJenama: Ajax, Palmolive, Tahiti, Axion, Bingo, Fabe, Felire, La croix, Mennen, Murphy... dan sebagainya.
Syarikat Johnson & JohnsonProduk: Kesihatan dan Penjagaan Diri
Syarikat JohnsonProduk: Pewangi dan Ubat Nyah SeranggaJenama: Raid, Glade... dan sebaginya.
Syraikat Revlon Make-up,Syarikat East In Sambel,Syarikat Beverly Hills,Syarikat Sitreen

Bahan Tenaga

-Bateri Kenderaan Milestone,Bateri Kenderaan Powder,Bateri Kecil Energyzer, Duracell, Everady... dan sebagainya.

Alatan Sukan

-Nike,Universal,Power,Paramount,Youngers.

Pakaian

-Jean's Basic,Kelvin Klein,Levi's,Basic Lauren

Alatan Pejabat

-Syarikat Delta Egypt,Parker Schiffer,Pen Schiffer,Higher.

Alatan Komunikasi dan Teknologi Maklumat

-Max
-IBM
-Intel
-Uracel
-Nokia
-Motorola
-Digital

Semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memboikot daripada membeli produk-produk Israel dan Amerika ini akan dapat melemahkan serta melumpuhkan ekonomi dan kekuatan mereka agar saudara-saudara kita di Palestin akan terselamat. Dan semoga dengan usaha kita yang sedikit ini akan mendapat balasan kebaikan daripada Allah SWT.

"Ya Allah, Engkau selamatkanlah dan berikanlah kekuatan kepada umat Islam di Palestin dan di seluruh dunia ini. Berikanlah kemenangan kepada mereka. Dan Engkau terimalah sedikit daripada usaha kami yang tidak seberapa ini dalam membantu saudara-saudara kami di sana serta demi mencapai keredhaanMU"..AMIN.


-AL FAQIR ILALLAH-










Posted on 8:36:00 am by egtanta and filed under | 0 Comments »

ALHAMDULILLAH..

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para Sahabat dan pengikut-pengikutnya sehingga hari Kiamat.

Alhamdulillah tanda syukur yang tidak terhingga kepada Rabbul 'Izati atas taufik dan izinNYA maka akhirnya tercapai jua impianku selama ini untuk membuat blog sendiri. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat teman-teman seperjuangan yang banyak memberi galakan dan semangat padaku.

Semoga dengan terciptanya blog ini akan dapat ianya ku jadikan sebagai satu wasilah untuk menyampaikan dakwah serta berkongsi sedikit ilmu bersama teman-teman seperjuangan. Oleh kerana diri ini masih lagi baru dalam dunia penulisan blog ini, maka tunjuk ajar serta teguran daripada teman-teman semua amat dialu-alukan.

Untuk akhirnya, semoga dengan usahaku yang sedikit ini mendapat perhatian daripada Allah Yang Maha Esa dan memberi manfaat kepada umat Islam seluruhnya.

"Ya Allah, Kau ikhlaskanlah niatku ini dan tetapkanlah diriku dalam perjuangan ini..Amin.."


-AL FAQIR ILALLAH-


Posted on 3:11:00 pm by egtanta and filed under | 0 Comments »